SESI PERSEKOLAHAN 2012
CUTI SEKOLAH 2011
MAJLIS APRESIASI PENDIDIKAN KHAS KLUANG
Majlis Apresiasi Pendidikan Khas Daerah Kluang tahun 2011 telah diadakan di Dewan Kg. Paya Kluang pada 10 November 2011. Guru-guru pendidikan khas dan guru pra sekolah telah diraikan pada majlis ini sebagai tanda penghargaan di atas segala usaha dan jasa yang telah diberikan untuk menjayakan program sekolah dan daerah pada tahun ini. Pada majlis ini juga Pendidikan Khas SKKDIM telah menerima Anugerah Laman Web Terbaik Pendidikan Khas Daerah Kluang bagi tahun 2011. Pendidikan Khas SKKDIM mengucapkan ribuan terima kasih di atas penghargaan yang telah diberikan.
MAJLIS HARI LAHIR & JAMUAN AKHIR TAHUN 2011
Alhamdulillah… Majlis hari Lahir & Jamuan Akhir Tahun Pendidikan Khas SKKDIM telah dapat dijalankan dengan meriah walaupun diadakan secara sederhana. Majlis ini diadakan khas untuk murid-murid pendidikan khas bagi meraikan hari lahir mereka. Betapa seronoknya mereka apabila mengetahui majlis hari lahir akan diadakan dan mereka jugalah yang membantu guru-guru dalam persiapan untuk majlis hari lahir. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam majlis kali ini… 
RAWATAN GIGI DI KLINIK KESIHATAN
Pada 14 Sept 2011, murid-murid pendidikan khas SKKDIM telah menjalani pemeriksaan gigi di Klinik Kesihatan Simpang Renggam. Sepatutnya ada 5 murid terlibat sama dalam pemeriksaan gigi tetapi hanya 2 murid sahaja yang hadir ke sekolah. Sudah menjadi kebiasaan apabila mendengar pemeriksaan gigi akan dijalankan pasti kebanyakkan murid akan berasa takut dan gementar termasuk murid-murid pendidikan khas. Walau bagaimanapun masih ada murid yang berani dan tidak gementar bila diperiksa oleh doktor gigi.
Jangan takut k.. 
SAMBUTAN MAJLIS HARI RAYA SKKDIM 2011
Pada 30 Sept 2011, warga SKKDIM dan PIBG SKKDIM telah berjaya mengadakan sambutan sempena Aidilfitri dan majlis pertukaran guru iaitu Pn. Era yang baru berpindah pada pertengahan tahun ini. Sambutan kali ini bukan sahaja diraikan oleh murid-murid SKKDIM malah ibubapa juga turut diundang pada sambutan kali ini. Kemeriahan dan kegembiraan Aidilfitri pada tahun ini amat terasa kerana ini adalah antara program yang ditunggu-tunggu pada setiap tahun. Murid-murid pendidikan khas juga berasa amat seronok dan gembira apabila dapat menikmati kuih-muih dan makanan raya yang disediakan untuk mereka.
MAJLIS MARHABAN PRA SEKOLAH DAN PENDIDIKAN KHAS SKKDIM
Sambutan dan kemeriahan Aidilfitri disambut dengan majlis marhaban anjuran pra sekolah dan turut disertai oleh warga Pendidikan Khas SKKDIM. Bacaan marhaban dijalankan di setiap kelas pra sekolah dan kelas pendidikan khas yang diketuai oleh Cikgu Daim. Semoga majlis ini mendapat keberkatan dan mengeratkan sillaturahim dikalangan guru-guru dan murid-murid SK. Kg. Dato Ibrahim Majid…
PERKHEMAHAN PENGAKAP ‘AGOONOREE’ PENDIDIKAN KHAS KLUANG 2011
Salam pengakap… Tahniah kepada AJK Perkhemahan Pendidikan Khas Daerah Kluang kerana telah sekali lagi berjaya mengadakan perkhemahan pengakap pendidikan khas bagi tahun 2011. Perkhemahan kali ini diberi nama Perkhemahan Pengakap ‘Agoonoree’ Pendidikan Khas Daerah Kluang dan telah diadakan di Ulu Dengar, Kluang pada 27 hingga 29 September 2011.
Rugi kepada sesiapa yang tidak dapat mengikuti perkhemahan kali ini. Banyak aktiviti yang menarik dan mencabar yang telah disediakan untuk murid-murid pendidikan khas pada tahun ini. Antara aktiviti yang disediakan adalah seperti memasang khemah, keberanian di air, ikatan, masakan di hutan, ‘flying fox’, mengharungi laluan berlumpur dan bermacam-macam lagi. Salah satu aktiviti lain yang menarik adalah cabaran naik lori beramai-ramai dan melalui jalan yang berselekoh yang mencabar. Meskipun penat mengharungi aktiviti perkhemahan selama 3 hari ini, pengalaman dan ilmu yang diperolehi amat berbaloi bagi guru-guru dan murid-murid pendidikan khas. Semoga berjumpa lagi di tempat yang lain pada tahun hadapan… ^_^
KURSUS KSSR PENDIDIKAN KHAS TAHUN 2/ 2011
Bertempat di SM Vokasional Segamat telah diadakan Kursus KSSR Pendidikan Khas (Kohort Tahun 2/2012) anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Kursus selama 4 hari ini telah dipengerusikan oleh En. Azizan B. Jantan, Penyelia Kanan Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Sebanyak 3 daerah telibat dalam kumpulan pertama kursus kali ini iaitu Daerah Kluang, Batu Pahat dan Pontian. Di dalam kursus ini peserta kursus telah diberi taklimat dan bengkel mengenai KSSR Pendidikan Khas, sukatan pelajaran KSSR, penyediaan rancangan pengajaran KSSR dan bengkel membina rancangan pengajaran harian yang telah dikendalikan oleh JU yang terlibat.




























